Info Sekolah

Sejarah SK Telok Berembang

Terletak di sempadan negeri, antara Negeri Sembilan dan Melaka, membuatkan Sekolah Kebangsaan Telok Berembang mudah ditemui. Pertembungan antara dua buah negeri membawakan pertembungan dua budaya dan tradisi yang amat menarik. Sekolah Kebangsaan Telok Berembang ini juga terletak di Kawasan Masjid Tanah di dalam Daerah Alor Gajah, Melaka. Sekolah ini juga adalah dibawah tadbiran Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah, Melaka.

Keluasan sekolah ini adalah 2396 meter persegi. Di dalam keluasan sebegini terdapat dua buah padang kecil, sebuah kantin, dua blok bangunan baru, dan sebuah blok bangunan lama. Bangunan lama yang dibina pada tahun 1953 masih lagi digunakan sehingga kini di mana bangunan tersebut menempatkan kelas bagi Pendidikan Khas dan kelas 4 Ibnu Khaldun. Bangunan baru yang telah siap dibina pada penghujung tahun 2002 telah pun diduduki pada awal tahun 2003. Bangunan A menempatkan pejabat pentadbiran sekolah, bilik guru, bilik sains, bilik prasekolah, bilik kaunseling, makmal komputer, dan bilik mesyuarat. Blok B pula menempatkan 8 buah bilik darjah, stor buku teks, bilik kesihatan, bilik pemulihan, Musolla Al-Hakim dan kawasan wuduk, perpustakaan, bilik tayang, bilik muzik, dan bilik pengurusan buku teks.

Sekolah Kebangsaan Telok Berembang kini mempunyai seramai 37 orang guru, 7 orang staf (1 Pembantu Tadbir, 1 Pembantu Am Pejabat & 4 Pembantu Pengurusan Murid), 3 orang pekerja swasta dan 4 orang pengawal keselamatan.

Seramai 410 orang murid kini berdaftar di SK Telok Berembang. Murid-murid ini terdiri daripada murid prasekolah, pendidikan khas dan murid perdana dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Berdasarkan analisa yang dijalankan setiap tahun, jumlah murid di sekolah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Ini kerana sekolah ini menerima kedatangan murid dari dua negeri yang berbeza.